Wednesday, January 4, 2012

Bercerai Susu, bila nak ready?

Salam,

Semalam, saya dan suami mendapat berita yang sangat menggembirakan, dan pastinya akan mengubah haluan penyusuan Aisyah selepas ini. (hahahahha ayat ini sangat berbaur provokasi sehingga Aisyah terlibat sama...apakah?).

Setelah menyelesaikan beberapa tugas pejabat, saya meluangkan sedikit masa untuk mencari info berkaitan petua bercerai susu (ada juga yang sebut putus susu).

Keputusan saya untuk melaksanan penceraian (betul ke perkataan ni) susu dengan Aisyah adalah sebagai persediaan awal terhadap berita yang kami suami isteri terima malam tadi.

Yes!

It's confirm that I am pregnant again!

Alhamdulillah...Syukur ya Allah, Engkau telah memperkenan doa kami selama ini. Gembira tidak terkata, tetapi saya tidak menafikan bahawa tetap terselit perasaan risau dan gelisah di hati saya selagi saya tidak berjumpa dengan Gynae. Ya..saya perlu berjumpa dengannya!

Beberapa info berkaitan tips bercerai susu yang saya perolehi hasil daripada penyelidikan tidak rasmi dan telah saya ubah sikit-sikit agar sesuai dengan entri ini:

1. Kurangkan penyusuan. Setiap kali anak ingin menyusu, cuba alihkan perhatian kepada perkara lain terlebih dahulu. Mungkin beri mainan, atau bacakan buku atau apa sahaja yang boleh lakukan.
2. Jangan tawarkan susu, tetapi jangan tolak jika dia mahu menyusu. Eh, sudah berlawan pula dengan item no. 1 tadi? Kadang-kadang, ibu secara tidak sedar akan menawarkan susu. Hal ini boleh dikawal kerana ia bergantung kepada ibu terutamanya ibu yang berazam untuk menceraikan susu. Namun, sekiranya anak meminta untuk menyusu, cuba lakukan langkah 1 dahulu dan jika tidak berjaya barulah boleh menyusukan anak itu (Saya dah buat, tapi kalah juga dengan kemahuan Aisyah..tak tahan sangat bila Aisyah buat muka sambil renung mata saya...haih!).
3. Kurangkan waktu penyusuan secara berperingkat. Mungkin anda boleh mulakan dengan kurangkan penyusuan pada waktu siang. Sibukkan anak dengan bermain supaya dia leka (langkah 1). Secara berperingkat, lanjutkan pula kepada waktu malam. Anak pada usia 3 tahun sudah boleh faham arahan dan penjelasan. Maka kita bolehlah jelaskan padanya waktu-waktu yang dibenarkan untuk menyusu direct.
4. Pakai pakaian yang sukar untuk menyusukan anak. Jika anda sering pakai nursing bra, mungkin anda boleh mula menggunakan bra biasa. Cuba pakai Abaya (jubah) yang tidak berbutang dihadapan dan tunjukkan kepada si anak betapa sukar dan tidak sesuai untuk dia menyusu jika memakai Abaya sebegitu. Jadi jika di luar rumah, tidaklah dia minta untuk menyusu.
5. Jika ada spot menyusu dirumah, elakkan untuk duduk di tempat itu. Contohnya dirumah anda sering menyusu disatu kerusi/sofa tertentu. Mungkin anda boleh beralih tempat duduk. Jika anda sering menyusu ketika baring, kurangkan berbaring (susahnya kan sebab kita pun mahukan rehat juga). Tapi ini semua hanya sementara sahaja.
6. Cuba gunakan teknik Sichida. Bercakap dengan anak pada waktu anak tidur. Apabila anak baru lelap/tidur atau tidur=tidur ayam, boleh bisikkan ditelinganya dan beritahu perkara-perkara yang kita harap dia buat. Ia boleh juga digunakan untuk anak-anak yang lain bagi perkara-perkara yang lain juga. Biasanya perkara yang dibisikkan pada waktu ini akan kekal dalam ingatan anak-anak (saya dah try teknik ni, pada pemerhatian saya, memang nampak kesannya pada Aisyah..hehehhe).
7. Doa banyak-banyak dan mohon pada Allah swt supaya dipermudahkan urusan menceraikan susu pada anak. Doa senjata orang Islam yang paling kuat, dan Allah swt sangat suka pada hambaNya yang berdoa. Jadi Allah swt sahaja yang boleh bantu kita disaat kita rasa tidak berdaya dan berupaya.
8. Teknik meletakkan sesuatu pada badan ibu, seperti kopi, sos, dan sebagainya boleh berjaya pada sesetengah anak terutama anak yang lebih kecil (saya tak pasti saya boleh buat ke tak yang ini pada Aisyah)
Proses penceraian susu ini bukannya mudah kerana ia berkait rapat dengan emosi dan psikologi anak dan ibu. Ia perlu dilakukan dengan perlahan-lahan supaya ia menjadi satu pengalaman dan proses yang aman kepada semua.
Hm...saya? Bagaimana?
Hm... sekali lagi....hm
Ya Allah..permudahkan segala urusan kami.
Amin Ya Rabbal Alamin.
- Mommy Aisyah -

2 comments:

  1. ya Allah.. baru tau. congrats congrats!!! :D

    ReplyDelete
  2. tengkiu Amy, baru lagi...Alhamdulillah. semoga semua selamat. Amin..

    ReplyDelete